Pada 14 Julai setiap tahun, bandar Paris akan berubah menjadi tapak sambutan Hari Bastille, dan sebabnya memang baik. Di sinilah tempat berlakunya peristiwa Storming of Bastille, yang akhirnya memulakan Revolusi Perancis. Bandar Cahaya ini menyambut Hari Bastille dengan penuh patriotisme dan temasya girang, lantas menambahkan lagi pesona bandar ini. Di sini disenaraikan beberapa cara terbaik untuk menyertai keseronokan Hari Bastille di Paris.

1. Lihat Perarakan Hari Bastille di Sepanjang Champs Elysees
Salah satu acara kemuncak Hari Kebangsaan Perancis ini ialah perarakan tentera sepanjang Champs Elysees, tradisi Hari Bastille Paris yang bermula pada tahun 1880. Perarakan ini biasanya bermula sekitar 10:45 AM berserta dengan lintas hormat pesawat tentera udara sepanjang laluan dari Arc de Triomphe hingga ke Place de la Concorde. Terdapat banyak lagi acara gilang-gemilang yang boleh dilihat dua jam sebelum acara utama ini, termasuk acara pemeriksaan barisan tentera oleh Presiden Perancis semasa dia melalui jalan terkenal ini. Jika anda bercadang menggunakan Metro untuk melihat perarakan istimewa ini, sila datang awal – kebanyakan stesen metro ditutup sekitar 8:00 AM hingga tengah hari untuk tujuan keselamatan. Jika anda bernasib baik, anda mungkin menemui kerusi tepi tingkap di aras dua salah satu kafe di Champs Elysees untuk melihat perayaan Hari Bastille ini.


2. Lihat Bunga Api Menara Eiffel
Hari Bastille diakhiri dengan pertunjukan bunga api yang menerangi langit malam di atas Menara Eiffel. Anda boleh melihat pertunjukan Hari Bastille ini dari mana-mana tempat di Paris yang dapat melihat mercu tanda ini dengan jelas. Namun, ramai penduduk Paris memilih untuk menghayati pameran 35 minit berhampiran dengan kaki menara di Champs de Mars. Padang luas ini menganjurkan konsert muzik Hari Bastille dua jam sebelum pertunjukan bunga api bermula, memberikan orang ramai sebab tambahan untuk berada dekat dengan tapak bunga api. Anda dinasihati untuk pergi awal – ramai orang pergi ke padang pada siang hari untuk mendapatkan tempat terbaik dan berkelah. Pada hari ini, alkohol dihentikan di padang ini pada 3:00 PM, bilik air awam tidak banyak, dan stesen Metro terpilih mungkin ditutup awal atas tujuan keselamatan, rancanglah dengan sewajarnya. Kesabaran diperlukan jika anda memilih untuk melihat pertunjukan ini – bunga Api Bastille bermula pada 11:00 PM. Bertentangan dengan Champ de Mars di seberang Sungai Seine, Les Jardins du Trocadero menawarkan lokasi yang kurang sesak untuk melihat bunga api Hari Bastille di bawah bayang-bayang Menara Eiffel.


3. Hadiri Majlis Tari-Menari Bomba
Balai bomba di sekitar Paris bertukar menjadi tempat berkumpul tidak rasmi untuk mengumpul dana dan berhibur semasa Hari Bastille. Yuran masuk kecil dikenakan untuk menyertai majlis Hari Bastille ini dan anda boleh membeli makanan, minuman dan tiket rafel. Semua orang tanpa mengira umur diundang untuk menyertai majlis ini. Sebaik sahaja semua kanak-kanak telah pulang, majlis ini bertukar seperti kelab malam dengan DJ dan tarian. Acara istimewa ini biasanya berlangsung hingga lewat malam dan penumpang Metro perlu ingat bahawa kereta api beroperasi hingga sekitar 2:00 AM. Tak sabar menunggu hingga Hari Bastille? Sesetengah balai bomba memulakan temasya mereka pada 13 Julai.


4. Lawat Louvre secara Percuma
Walaupun Hari Bastille merupakan hari cuti umum kebangsaan, semua tapak kebudayaan utama di Paris akan dibuka, termasuk Musee d’Orsay dan Musee de l’Orangerie. Muzium Paris paling terkenal, The Louvre, membuka pameran tetap mereka kepada orang ramai secara percuma pada Hari Bastille. Jangkakan kesesakan lebih daripada biasa pada hari ini, terutamanya di sekitar hasil seni ikonik seperti Mona Lisa. Muzium dan monumen lain di sekitar Paris juga dibuka secara percuma pada Hari Bastille, termasuk Les Invalides dan The Pantheon.


5. Naiklah Bot Persiaran di Sungai Seine
Memandangkan bunga api Hari Bastille boleh dilihat dari mana-mana tempat yang boleh melihat Menara Eiffel, orang ramai mempunyai banyak pilihan untuk melihat pemandangan menarik ini. Salah satu cara unik untuk melihat pertunjukan bunga api di Paris ialah dengan menempah makan malam persiaran Hari Bastille di Sungai Seine. Pelbagai syarikat menawarkan perkhidmatan bot dengan pilihan makan, dari makanan kasual hinggalah pengalaman gourmet seperti foie gras itik salai, escargot dan cote de boeuf. Masa di atas air bagi setiap bot berbeza-beza, begitu juga dengan kedudukan bot semasa pertunjukan bunga api Hari Bastille bermula. Sesetengah bot berlabuh berdekatan dengan Menara Eiffel, manakala sesetengah yang lain berlabuh lebih jauh dalam garis penglihatan menara tersebut.


6. Jangan Lupa Membeli-Beli-Belah pada Hari Bastille
Bukan monumen Paris sahaja yang dibuka pada Hari Bastille. Kedai-kedai juga dibuka, dari kedai barang kemas mewah terkemuka di Place Vendome hinggalah hab beli-belah terkenal seperti Galeries Lafayette, Pusat Beli-Belah Beaugrenelle, dan Bercy Village. Sesetengah kedai juga memberikan diskaun Hari Bastille untuk menarik anda membeli.


7. Bersantai di Paris-Plages
Sambutlah perayaan Hari Bastille di Paris di pantai. Pada setiap musim panas, dua bahagian tebing Sungai Seine berubah menjadi pantai bandar percuma. Anda boleh berkumpul di sepanjang sungai di sebelah Parc Rives de Seine antara Musee d’Orsay dengan Pont de l’Alma dan menikmati pemandangan Hari Bastille di bawah parasol yang dikelilingi pokok palma. Jika anda mahu, anda dan anak-anak anda boleh singgah di basin terusan La Villette dan berendam di dalam kolam renang. Di tempat-tempat ini, anda boleh mendapatkan buku dari kiosk terdekat, bermain bola sepak meja, atau makan aiskrim. Menara Eiffel boleh dilihat dari pantai-pantai ini, membolehkan anda menikmati bunga api Hari Bastille dari kerusi dek.


8. Ikuti Pengembaraan Jalan Kaki Revolusi Perancis
Banyak mercu tanda berkaitan dengan Hari Bastille dan Revolusi Perancis masih berdiri teguh di Paris. Beberapa lawatan berpandu boleh membantu anda menelusuri kembali sejarah konflik yang penting tapi berdarah ini di sekitar Paris pada Hari Bastille. Tempat lawatan biasa termasuk The Conciergerie, penjara yang menempatkan tawanan yang menunggu hukuman gilotin, dan Place de la Concorde, dataran awam di mana Raja Louis XVI dan Marie Antoinette menemui ajal mereka. Anda juga akan dibawa melihat Place de la Bastille, monumen di tapak Penjara Bastille. Lawatan biasanya mengambil masa dua jam. Anda juga boleh mengambil lawatan berpandu kendiri dengan memuat turun aplikasi khas jika anda ingin mengambil masa anda pada Hari Bastille.


9. Nikmati Petang di Bois de Boulogne
Taman Bois de Boulogne seluas 845 ekar ini memberi anda peluang menyambut Hari Bastille dengan dikelilingi alam semula jadi. Bekas tapak memburu raja-raja Perancis ini merupakan tempat pelarian untuk aktiviti luar di Paris. Pada Hari Bastille, taman ini merupakan pilihan alternatif yang baik jika anda tidak mahu berkelah di tengah-tengah kesesakan di Champ de Mars atau Les Jardins du Trocadero. Anda juga boleh menyewa bot dan bersiar-siar di Lac Inferieur taman ini. Jika anda mengambil bot, jangan lupa ke pulau di tasik ini dan mencari monumen pembina taman ini dan anak saudara Napoleon Bonaparte, Napoleon III.


10. Luangkan Masa di Pesta Tuileries
Jika anda menyambut Hari Bastille di Paris bersama keluarga, anda mungkin mahu ke pesta ini yang dianjurkan pada setiap musim panas di Taman Jardin des Tuileries. Tempat ini mempunyai lebih kurang 60 tarikan klasik seperti kereta bumper, galeri menembak, dewan cermin, dan pelbagai karusel. Tarikan paling utama ialah buai berpusing, yang membolehkan anda terbang di atas Rue de Rivoli sambil melihat Menara Eiffel dan tarikan lain dari langit. Terdapat banyak gerai menjual gelato, gula kapas, donut, dan halwa epal bagi mereka yang gemarkan makanan manis. Kemasukan ke pesta adalah percuma tetapi anda perlu membayar untuk bermain dan menaiki tarikan.
