Jalan Khao San merupakan daerah pelancong utama di Bangkok yang dikenali kerana latar hiburan yang meriah dan hotel bajet. Jalan ini sering dianggap sebagai hentian wajib bagi pengembara beg galas yang mengembara ke Asia, dan juga terkenal dalam kalangan penduduk tempatan kerana suasananya yang bersahaja. Kerana Jalan Khao San hanya merangkumi beberapa blok, banyak tarikan telah melimpah ke jalan-jalan yang berhampiran, Jalan Rambuttri dan Jalan Phra Athit. Manfaatkan sepenuhnya lawatan anda ke Jalan Khao San dan jalan-jalan berhampirannya dengan panduan menyeluruh ini.

Kegiatan yang boleh dilakukan di Jalan Khao San
Sukar untuk anda berasa bosan jika melawat atau menginap di Jalan Khao San. Anda pasti dapat berseronok di salah satu bar atau kelab malam, selain mencuba makanan jalanan yang lazat dan membeli-belah cenderamata. Jalan Khao San menawarkan sesuatu untuk setiap pengunjung, sama ada anda suka menari sepanjang malam atau mencuba pelbagai makanan di bandar ini.

CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN

Hiburan malam di Jalan Khao San
Jalan Khao San sentiasa sibuk pada waktu siang, tetapi kawasan ini benar-benar hidup pada waktu malam. Jalan-jalan dan lorong-lorong diterangi papan tanda neon dan muzik dari pusat hiburan tempatan dapat didengari di jalan. Terdapat kepelbagaian hiburan malam di sini, dengan setiap bar dan kelab bangga dengan gaya unik mereka yang tersendiri. Anda akan menemukan tempat-tempat yang memenuhi setiap cita rasa dalam muzik, makanan dan minuman. Dengan pilihan yang amat luas, agak sukar untuk mencari tempat untuk bermula. Di sini disenaraikan beberapa bar dan kelab terbaik di Jalan Khao San untuk membantu anda membuat keputusan.
Bar terbaik di Jalan Khao San
- Brick Bar – Dengan mudahnya salah satu bar paling terkenal di kawasan Jalan Khao San, Brick Bar pasti menyeronokkan. Pergilah ke sana untuk muzik rancak yang dipersembahkan secara langsung oleh kumpulan-kumpulan muzik yang berbakat yang pasti menarik semua orang untuk menari dan menyanyi bersama-sama. Brick Bar merupakan ruang yang amat besar yang boleh memuatkan lebih 1,000 orang, dan sering sesak pada hujung minggu dengan orang tempatan dan pelancong. Tiga kumpulan muzik membuat persembahan setiap malam, dan pesta berterusan hingga selepas 1 pagi, apabila kumpulan terakhir selesai membuat persembahan di atas pentas.
- Bombay Blues – Untuk suasana yang lebih santai agar anda boleh duduk berehat dan minum, jangan lepaskan peluang untuk berkunjung ke Bombay Blues. Bar shisha ini merupakan salah satu tempat bersantai terbaik di kawasan ini, dan juga tempat yang baik untuk makan masakan India di Bangkok. Bar ini terletak di dalam sebuah rumah bersejarah di Jalan Rambuttri dan mempunyai kawasan bumbung terbuka untuk anda menikmati kesejukan angin malam selepas hari yang panas. Meskipun sering menjadi tempat untuk makan malam pada hari bekerja, DJ bar memainkan campuran muzik Bollywood yang hebat pada hujung minggu yang akan membuatkan anda bangun dan menari.
- Adhere the 13th – Kecil tetapi terkenal dalam kalangan penduduk tempatan, Adhere the 13th memainkan muzik blues secara langsung pada setiap malam. Bar ini terletak di Jalan Samsen, hanya lima minit berjalan kaki dari hujung barat Jalan Khao San. Pemuzik selalunya memulakan persembahan sekitar 8 p.m., jadi lebih baik anda mendapatkan tempat duduk sebelum itu. Pengunjung bar yang bermain dan membawa alat muzik juga dialu-alukan untuk membuat persembahan di pentas bersama-sama penghibur. Suasana yang selesa dan mesra memastikan bahawa semua orang yang datang pasti akan terhibur pada malam itu. Tambahan lagi, Adhere at 13th menghidangkan beberapa bir termurah di bandar ini!
- Molly Bar – Terletak di hujung timur Jalan Khao San, Molly Bar merupakan tempat yang baik untuk minum, bersama-sama dengan orang ramai yang suka berseronok, dan pilihan muzik yang pelbagai. Bar ini terletak di dalam sebuah rumah aneh dengan bahagian luar yang dihiasi lampu berkelip-kelip dan tempat duduk terbuka untuk anda memulakan malam anda. Apabila malam semakin lewat, pengunjung bergerak masuk ke dalam rumah dua tingkat ini untuk mendengar muzik. Di aras bawah, anda boleh mendengar kumpulan muzik mempersembahkan 40 Lagu Terkenal dan lagu pop Thai terkenal. Di atas, DJ memutarkan muzik tari untuk mereka yang ingin menari.
- Jazz Happens – Peminat Jazz pasti teruja apabila menjumpai bar jazz asli ini yang terletak hanya beberapa minit dari Jalan Khao San, berdekatan dengan tebing sungai di Jalan Phra Athit. Jazz Happens dimiliki oleh salah seorang pemain piano terkemuka di Thailand dan menyajikan persembahan daripada siswazah dan penuntut Fakulti Muzik Universiti Silpakorn. Di sini juga merupakan tempat yang baik untuk mencari makanan Thai asli dan murah serta pelbagai minuman dan koktel kreatif. Untuk malam yang santai sambil menikmati makanan yang lazat dan bakat muzik tempatan, anda pasti tidak kecewa jika ke Jazz Happens.
- Mulligan’s Irish Bar – Bar Ireland yang unggul betul-betul di Jalan Khao San, Mulligan’s Irish Bar merupakan tempat yang bagus untuk berseronok beramai-ramai, berbual-bual sambil minum dan bermain permainan bar. Terdapat pelbagai pilihan bir pili dan botol di sini, termasuk Guinness yang diimport, dengan antara harga terendah di seluruh Thailand. Anda boleh juga mencuba pelbagai koktel serta pilihan makanan Thai dan makanan pub Ireland tradisional. Tonton acara sukan di televisyen besar, cabar rakan anda dalam permainan pool, atau duduk dan dengar salah satu kumpulan muzik yang membuat persembahan setiap malam.
- Hippie de Bar – Satu lagi permata Jalan Khao San, Hippie de Bar mempunyai suasana tenang dan retro yang akan membawa anda balik ke zaman yang lebih ringkas. Bar ini menawarkan tempat duduk di dalam dan di luar, di atas kerusi gaya retro yang empuk dan bercorak bunga. Muzik yang dimainkan mempunyai campuran eklektik reggae dan indie pop, serta lagu-lagu klasik era 80-an. Cubalah salah satu koktel istimewa bar ini atau pilih daripada pelbagai pilihan bir dan wiski. Di sini juga merupakan tempat yang baik untuk mencuba makanan bar Thai. Datanglah ke sini untuk menonton acara sukan secara langsung di TV atau hanya untuk menghayati suasananya yang meriah.

CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN

Kelab terbaik di Jalan Khao San
- The Club – Namanya mungkin tidak asli, tetapi tidak dapat dinafikan bahawa The Club merupakan tempat tujuan jika anda ingin menari sepanjang malam berlatarkan lagu EDM, house dan tekno. Kelab ini terletak betul-betul di nadi kawasan Jalan Khao San dan sukar untuk terlepas kerana terdapat papan neon besar di depannya. Selepas masuk dan melalui koridor sempit, anda akan keluar ke lantai tari besar yang pasti penuh dengan orang pada setiap malam. Pengunjungnya sentiasa bertenaga, minumannya murah, dan muzik tidak berhenti hingga 3 a.m.
- Superflow City Beach Club – Berjalan sedikit di Jalan Khao San, anda akan menemukan kelab siang dan malam bertemakan pantai ini. Di sini anda boleh menikmati minuman pada waktu siang dalam suasana yang lebih tenang dan kembali semula pada waktu malam untuk berseronok. Koktel di sini murah dan ruang yang besar ini terasa seperti berada di pulau tropika, dengan pasir sebenar, pokok palma, kerusi jemur, dan pondok buluh. Meja DJ di tengah-tengah memainkan muzik house yang membuatkan semua orang menari, terutamanya menjelang tengah malam. Pada setiap bulan, Superflow City Beach Club menganjurkan jamuan “Bulan Penuh” istimewa dengan persembahan bunga api, berbaldi-baldi koktel dan pameran lampu yang hebat.
- The Bank Club and Restaurant – Untuk hiburan malam lengkap tanpa perlu pergi dari satu tempat ke tempat yang lain, pilihlah The Bank Club and Restaurant. Tempat hiburan malam tiga tingkat terkenal di Jalan Chakkapong tidak jauh dari Jalan Khao San ini merupakan sebuah restoran, bar dan kelab tari dalam satu tempat. Nikmati makan malam, naik ke bar bumbung untuk minum-minum apabila suasana mula meriah, kemudian turun ke ruang kelab bawah tanah untuk mendengar DJ memainkan campuran muzik house dan hip-hop. Pada sesetengah malam, terdapat kumpulan muzik yang akan membuat persembahan secara langsung.
- Lava Gold – Terletak betul-betul di tengah-tengah Jalan Khao San, di dalam ruang bawah tanah Bangunan Bayon, Lava Gold merupakan sebuah kelab kecil yang hanya berkisarkan tarian. Kedudukannya di pusat menjadikannya destinasi sempurna selepas anda selesai pergi dari bar ke bar pada waktu malam. Minuman di sini murah dan DJ memainkan campuran lagu tari dan hip-hop menerusi sistem bunyi yang mengagumkan sementara lampu lazer memancari penari. Jamuan biasanya bermula selepas 11 p.m., tetapi akan berterusan hingga awal pagi. Pengunjung di Lava Gold merupakan campuran seimbang antara penduduk tempatan dengan pelancong.

CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN

Makanan Jalanan Jalan Khao San
Makanan jalanan di Thailand terkenal kerana sedap, mengenyangkan dan sangat murah. Di Jalan Khao San dan sepanjang Jalan Rambuttri dan Jalan Phra Athit yang berhampiran, anda akan menemukan semua makanan jalanan paling terkenal pada harga terbaik di Bangkok. Setiap penjuru dan lorong mempunyai sesuatu yang baharu dan menarik untuk dicuba, menjadikan Jalan Khao San tempat yang seronok buat penggemar makanan. Terdapat pelbagai makanan Thai yang unik untuk mereka yang berani dan banyak masakan Thai yang terkenal untuk mereka yang ingin makan sedap-sedap.
Makanan untuk dicuba di Jalan Khao San
- Popiah goreng – Popiah merupakan kudapan jalanan kegemaran di seluruh Bangkok, dan begitu juga di Jalan Khao San. Kebanyakan popiah dibuat daripada sayuran dan suhun yang dibalut dengan kertas beras dan kemudian digoreng. Popiah adalah pilihan yang baik untuk makan sambil berjalan.
- Ayam goreng – Setiap budaya memasak ayam goreng dengan cara tersendiri. Selepas mencuba satu di Jalan Khao San, anda mungkin percaya yang Thailand membuat ayam goreng terbaik. Ayam goreng Thai mempunyai isi yang lembut dan berjus serta kulit yang rangup dan ringan. Ayam goreng biasanya dihidangkan dengan bawang putih goreng di atasnya dan sos cili sebagai pelengkap.
- Roti canai – Roti ialah roti tanpa ragi yang berasal dari india dan telah menjadi makanan jalanan terkenal di seluruh Asia Tenggara. Di Thailand, roti biasanya disumbat dengan pisang dan dibubuh susu pekat manis. Gerai makanan jalanan di sepanjang Jalan Khao San terkenal kerana menyajikan roti pisang dicicah coklat.
- Tom Yam Kung – Salah satu masakan paling terkenal di Thailand, Tom Yam Kung ialah sup pedas yang penuh dengan perisa Thai dan mengenyangkan. Tom Yam ini dibuat daripada campuran rempah herba, cili, pes asam jawa, serai, dan udang-udang yang besar.
- Ais krim kelapa – Nikmati semangkuk ais krim enak yang diperbuat daripada krim kelapa. Ais krim kelapa merupakan pencuci mulut yang baik selepas makan Tom Yam Kung atau kudapan tengah hari yang menyejukkan apabila anda ingin berehat selepas membeli-belah. Teksturnya lembut dan mempunyai aroma yang menyelerakan.
- Bubur daging babi – Daging babi digunakan dengan pelbagai cara dalam masakan Thai, dan salah satunya adalah dengan menambahkan bebola daging babi dan hati ke dalam bubur. Bubur daging babi merupakan makanan selesa, sempurna pada waktu pagi selepas semalaman berpesta atau untuk menghangatkan badan anda pada hari sejuk.
- Sate babi – Satu lagi cara terkenal untuk makan daging babi di Thailand adalah dalam bentuk sate babi. Beberapa kepingan daging babi yang berjus dicucuk bersama-sama, diperap di dalam sos manis dan masin, dipanggang di atas bara panas yang memberikannya rasa asap, dan dihidangkan dengan sos pedas. Sate babi lebih sedap dimakan sebaik sahaja selesai dipanggang dan masih panas.
- Pulut mangga – Salah satu kudapan jalanan manis paling terkenal di Thailand, pulut mangga dibuat daripada tiga bahan mudah: pulut, mangga masak yang manis, dan santan. Pulut mangga adalah pencuci mulut yang menyenangkan hinggakan sekali anda cuba, pasti anda hendak lagi!
- Pad Thai – Mungkin saranan ini sesuatu yang jelas tetapi, apabila anda berada di Thailand, anda perlu cuba Pad Thai asli daripada penjaja makanan jalanan. Pad Thai dihidangkan dengan pelbagai daging serta mempunyai pilihan vegetarian dan vegan. Pad Thai dijual serendah 40 baht sepinggan dan tidak susah untuk dicari.
- Serangga goreng – Jika anda gemar mencuba sesuatu yang baharu atau anda rasa berani, maka satu makanan istimewa Thai yang anda perlu cuba ialah serangga goreng. Ramai penjaja di sepanjang Jalan Khao San menawarkan serangga rangup ini, yang selalunya dihidangkan dengan sos. Pilihlah antara belalang, mealworm, lipas, cacing, kumbang, dan banyak lagi.

CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN

Beli-Belah di Jalan Khao San
Jalan Khao San dan kawasan sekitarnya secara asasnya merupakan sebuah pasar yang besar, dengan kedai-kedai dan gerai-gerai didirikan di mana-mana sahaja tempat yang anda lihat. Memandangkan kawasan ini tidak mempunyai banyak kenderaan yang lalu-lalang, anda boleh melihat-lihat dengan tenang. Masa terbaik untuk keluar membeli-belah adalah pada waktu malam semasa cuaca lebih sejuk. Kebanyakan kedai dan gerai juga dibuka selepas senja, menawarkan pelbagai pilihan aksesori dan perhiasan kecil yang disasarkan kepada pelancong. Jalan Khao San merupakan tempat yang baik untuk mencari cenderamata untuk keluarga dan rakan-rakan di kampung dan beberapa tanda kenangan istimewa untuk diri sendiri.
Barang yang boleh dibeli di Jalan Khao San
- Barang kemas buatan tangan dari Oh La La! – Untuk barang kemas berkualiti tinggi seperti rantai, gelang dan loket, Oh La La! merupakan tempat yang anda perlu pergi. Setiap perhiasan dibuat dengan tangan dan seni tukangnya dapat dilihat dengan jelas. Kedai kecil ini terletak di Lorong Rambuttri menghala ke Jalan Phra Athit. Anda boleh singgah di sini dalam perjalanan ke feri di Jeti Phra Arthit. Kakitangan yang mesra akan membantu anda mencari barang kemas sempurna yang akan membuatkan anda rasa bangga dan mengingatkan anda pada masa anda di sepanjang Jalan Khao San.
- Pakaian dan aksesori dari Pasiri Thai Handicraft – Anda tidak perlu mencari lebih jauh dari Pasiri Thai Handicraft untuk mendapatkan pelbagai pilihan pakaian, beg, kain sarung, kasut, skarf, skirt, beg Hmong, dan pelbagai kraftangan unik yang menarik. Kedai aneh tetapi menarik ini terletak di Lorong Susie yang terletak antara hujung timur Jalan Khao San dengan Jalan Rambuttri. Sukar untuk anda terlepas kedai ini kerana di depannya terdapat pelbagai pakaian dan aksesori berwarna-warni yang akan serta-merta menarik perhatian anda. Tempat ini baik untuk mencari sedikit cenderamata dan hadiah untuk keluarga dan rakan-rakan di kampung.
- Buku terpakai murah di Sara Barn Books – Memang bagus membawa bersama buku semasa mengembara, kerana mungkin akan tiba masa apabila anda mempunyai masa luang untuk diisi. Sara Barn Books mempunyai pelbagai pilihan buku yang menarik dari buku kulit lembut yang terkini hinggalah buku perjalanan yang menarik dan buku tentang fahaman Buddha. Terdapat juga pelbagai poskad yang boleh anda hantar kepada orang tersayang di rumah. Kedai buku yang hebat ini terletak di atas Lorong Susie di sebelah jalan keluar ke Jalan Rambuttri. Jika anda akan mengembara ke seluruh Asia, singgahlah di sini dahulu.
- Kraftangan tradisional dari Lofty Bamboo – Untuk hasil kraf pribumi Thai asli yang mempunyai sijil Fair Trade, singgahlah di Lofty Bamboo di hujung timur Jalan Khao San. Kedai ini menjual bermacam-macam barangan tekstil dan hasil seni indah yang dibuat sendiri oleh suku kaum bukit yang berbakat. Anda akan menemukan pelbagai pakaian, beg, barang kemas, dan aksesori indah dalam pelbagai warna dan corak yang menyerlah. Sokonglah kedai ini kerana pemiliknya berusaha keras untuk memastikan kraf tradisional Thai tidak dilupakan.
- Barangan Vintage dari Trapeze Swingers – Satu lagi kedai unik di kawasan ini, Trapeze Swingers merupakan sebuah kedai kecil di hujung Lorong Chana Songkhram, berhampiran jalan keluar ke Jalan Phra Athit. Sementara kedai-kedai di sekitarnya lebih menyasarkan pelancong, kedai ini menawarkan pilihan barangan vintaj berkualiti tinggi yang luas seperti kemeja-t grafik, CD dan Piring Hitam klasik, pakaian lelaki dan wanita seawal 1920-an, dan hiasan rumah yang aneh. Anda juga boleh membeli bir di kedai ini sementara melihat-lihat!

CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN

Cara untuk ke Jalan Khao San
Walaupun Bangkok mempunyai sistem transit awam yang baik dipanggil BTS Skytrain yang boleh membawa pengunjung ke kebanyakan kawasan pelancongan utama bandar ini, namun, tiada stesen BTS yang terletak berhampiran dengan Jalan Khao San. Anda perlu turun di Stesen BTS Saphan Taksin dan kemudian mengambil bot. Cara terbaik dan paling murah jika anda datang dari lapangan terbang ialah dengan bas.
Sebaik tiba di kawasan Jalan Khao San, berjalan-jalan di sini mudah sahaja kerana semuanya dalam jarak berjalan kaki.
D&D Inn Khao San
Bed Box Khoasan Hostel
The Printing House Poshtel Bangkok
Penginapan di Jalan Khao San
Jalan Khao San merupakan syurga bagi pengembara beg galas, menawarkan penginapan yang bersih dan selesa, dekat dengan semua aktiviti. Kawasan ini juga merupakan salah satu tempat untuk mendapatkan bilik paling murah di Bangkok. Menginap di atau berhampiran dengan Jalan Khao San merupakan cara yang baik untuk bertemu pengembara lain untuk meneroka dan mengembara bersama-sama. Di sini disenaraikan lima asrama dan hotel bajet terbaik di kawasan ini, setiap satu mempunyai Wi-Fi percuma agar anda setiasa terhubung semasa pengembaraan anda.
Hotel bajet berhampiran dengan Jalan Khao San
- D&D Inn Khao San – Terletak betul-betul di Jalan Khao San, hotel ini merupakan pilihan yang baik jika anda mengembara dalam kumpulan kecil kerana mempunyai banyak bilik dengan pelbagai katil. Untuk pengembara solo atau berpasangan, terdapat juga bilik dengan katil king, queen atau dua katil single. Bilik-biliknya cerah, mempunyai penyaman udara, dan disusun kemas, dengan ruang yang cukup luas untuk semua barang anda. Terdapat juga sebuah bar, restoran, studio urut, dan juga kolam renang terbuka. Dapatkan keselesaan, kesenangan, dan pelbagai perkhidmatan dan kemudahan pada harga yang murah.
- Bed Box Khoasan Hostel – Menginap di asrama adalah cara paling mudah untuk menjimatkan duit untuk penginapan. Asrama moden yang cantik ini terletak beberapa blok sahaja dari Jalan Khao San, menjadikannya mudah untuk ke semua bar dan kelab dalam waktu yang singkat. Terdapat pelbagai jenis penginapan yang ditawarkan, termasuk bilik asrama campur, bilik asrama perempuan sahaja dan bilik peribadi dengan bilik mandi berkongsi. Bilik mempunyai penyaman udara dan tetamu boleh menggunakan perkhidmatan tambahan seperti penyimpanan bagasi dan meja depan 24 jam. Bilik dan semua kemudahan dijaga dengan bersih bagi memastikan penginapan yang selesa.
- The Printing House Poshtel Bangkok – Terletak beberapa minit dari kawasan utama Jalan Khao San, asrama ini juga pilihan yang bagus jika anda ingin menginap di asrama. Penginapan ini menawarkan campuran bilik ala asrama yang baik (dengan bilik asrama perempuan asing), bilik peribadi dengan bilik mandi sendiri, dan bilik keluarga dengan bilik mandi berkongsi. Penyaman udara dan pengemasan harian memastikan penginapan ini sentiasa sejuk dan bersih. Ameniti tambahan juga disediakan, termasuk penyimpanan bagasi, teh dan kopi percuma, loker, televisyen, dan banyak lagi. Penginapan ini mempunyai sebuah bar dan restoran untuk anda duduk dan berehat.
- Yes kaosan – Bagi mereka yang ingin menginap di asrama betul-betul di Jalan Khao San, maka penginapan mesra bajet, bersih dan selesa ini merupakan pilihan terbaik. Selain bilik ala asrama yang besar, terdapat juga pilihan bilik single, double dan triple sama ada dengan bilik mandi peribadi atau berkongsi. Pilih penginapan yang anda mahu pada harga yang anda mampu dan di lokasi paling dekat dengan aktiviti. Asrama ini menawarkan daftar masuk 24 jam, perkhidmatan meja depan 24 jam, dan perkhidmatan lain seperti penyimpanan bagasi, pengeluaran wang, dan penukaran mata wang.
- Bbhouse Rambuttri – Terletak di Jalan Rambuttri, penginapan ini menawarkan akses mudah ke semua bar, kelab, kedai, dan makanan jalanan terbaik. Bilik peribadi yang luas dengan penyaman udara dan satu atau dua katil ditawarkan. Pengemasan harian memastikan semuanya bersih dan menjamin anda dapat berehat dengan selesa. Seluruh penginapan ini mempunyai suasana santai, dan terdapat juga kedai kopi dengan tempat duduk yang selesa untuk anda minum dan berbual-bual dengan tetamu lain. Semua bilik mempunyai pancuran mandi, kelengkapan bilik mandi, pengering rambut, tuala, dan air botol percuma, dan tetamu boleh memanfaatkan daftar masuk dan daftar keluar ekspres.
Yes kaosan
BBhouse Rambutri
CARI & TEMPAH HOTEL BERHAMPIRAN DENGAN JALAN KHAO SAN